KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Keputusan Barisan Nasional (BN) Selangor melantik Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sebagai bendahari bukan perkara mengejutkan BERSATU.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris, berkata walaupun Tengku Zafrul dikatakan mesra BERSATU selepas dilantik menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak pernah menghadiri program parti itu.

Katanya, BERSATU sejak awal mengetahui Tengku Zafrul adalah ahli Umno dan Muhyiddin tidak pernah mensyaratkan beliau perlu menyertai BERSATU untuk dilantik sebagai menteri kewangan.

“Saya tidak terkejut kerana Tengku Zafrul tidak mesra BERSATU sebagai contoh beliau tidak pernah hadir dalam aktiviti parti,” katanya memetik FMT.

Razali menolak dakwaan konon BERSATU gagal menjadi tarikan selepas Tengku Zafrul memilih terlibat secara aktif dalam Umno dan BN dengan memegang jawatan dalam parti, sambil menjelaskan BERSATU berjaya menarik ramai profesional baharu lain.

“Ramai ahli baru BERSATU daripada kalangan professional cuma kita tidak pernah memujuk Tengku Zafrul sertai BERSATU. BERSATU terbuka kepada sesiapa yang sehaluan dalam perjuangan tolak rasuah, salah guna kuasa dan prihatin rakyat.

“Tengku Zafrul boleh ke mana saja yang beliau suka, beliau tidak terikat dengan BERSATU. Beliau hanya dilantik menteri kewangan dan tidak diminta masuk BERSATU,” katanya.

Terdahulu, DAP sinis terhadap tindakan Tengku Zafrul menyertai Umno serta dilantik sebagai bendahari BN Selangor bagi menghadapi PRU15.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dengan nada menyindir, berkata beliau beranggapan Zafrul “berkhidmat untuk Muhyiddin Yassin”.

Pengerusi BN Selangor, Noh Omar, semalam mengumukan pelantikan Tengku Zafrul sebagai bendahari BN Selangor.

Untuk rekod, Tengku Zafrul sebelum ini menjadi ahli Umno bahagian Lembah Pantai dan dan menukar keahlian ke Selangor dan beliau tidak pernah umum keluar Umno.