KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pembangkang memuji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berani membentangkan Laporan Jabatan Negara mengenai Pemerdagangan Orang pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat semalam.

R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) berkata tindakan Hamzah itu disifatkan sebagai berani dan pertama kali dilakukan oleh menteri dalam kerajaan.

“Saya nak cadang kita rekodkan pada Menteri Dalam Negeri laporan ini.

“Ini kali pertama dibuat,” katanya di Dewan Rakyat.

Sivarasa juga mencadangkan kepada Dewan Rakyat supaya Hamzah dan kerajaan menyediakan laporan terperinci untuk menjawab semua pertuduhan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara.

“Sebab kenyataan akhir menteri mengatakan tidak praktikal. Bentang dan jawab kepada kerajaan AS apa tak betul,” katanya.

Sementara itu, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) bersetuju dengan cadangan Sivarasa dan berharap tindakan Hamzah dicontohi oleh menteri lain dalam kerajaan.

“Cadangan baik daripada Sungai Buloh (Sivarasa).

“Saya cadangkan menteri-menteri lain seperti Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bentang skandal Penjana Kerjaya di Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, Malaysia menyifatkan penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (Jabatan Negara) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3, sebagai subjektif.

Ini kerana, laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).

Hamzah berkata penilaian itu juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

Beliau berkata, TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan.

Selain itu, katanya, laporan itu turut berpandukan pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP).