KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Terengganu lebih menumpukan kepada calon boleh menang yang diletakkan di setiap kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata perbincangan pembahagian kerusi mengikut parti dalam gabungan itu sudah tidak ditekankan lagi.

“Akhir-akhir ini, perbincangan kerusi sudah tidak berapa hebat. Kita lebih memikirkan siapa nak jadi calon.

“Sebab semua kerusi di Terengganu akan ditandingi PN iaitu di 8 kerusi Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Yang penting siapa calon berkelayakan dan diterima masyarakat,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Dalam pada itu, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu berkata beliau berterima kasih kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Terengganu.

Katanya, PN Terengganu sudah ditubuhkan sejak lima bulan yang lalu.

“Cuma tak bagi watikah. Baru bagi pada Sabtu lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata PN Terengganu juga merancang strategi untuk membuat kempen bersama-sama antara PAS dan BERSATU.

“Kita yakin Inshallah secara dasarnya dalam pertemuan-pertemuan kita di peringkat kawasan agak sedikit significant.

“Ahli-ahli BERSATU dan PAS bekerjasama rapat dalam adakan program-program seperti ceramah, program usrah dan program kebajikan rakyat,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Razali menerima pelantikan watikah sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu.

Manakala Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Rosol Wahid dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu.

Watikah pelantikan itu disampaikan Muhyiddin di Majlis Pelancaran PN Terengganu.

Hadir di majlis itu, Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden GERAKAN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Senator Datuk Razali Idris.

Turut hadir, beberapa pimpinan ADUN PAS dan pemimpin bahagian BERSATU di majlis itu.