PETALING JAYA, 3 Ogos – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri pada Khamis bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perjanjian PM dengan PN.

“Insya-ALLAH saya akan bertemu dengan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, esok hari,” katanya pada sidang media di Akademi MAB di sini, pada Rabu.

Terdahulu, beliau hadir bagi merasmikan persidangan sempena sambutan Hari Dunia Menentang Pemerdagangan Orang.

Sebelum ini, pemimpin PN melahirkan rasa kecewa terhadap Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian bersama PN.

Dipercayai, antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Hamzah berkata, ia semakin hampir.

“Sudah dekat,” katanya ringkas.