KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Seramai 131 mangsa jenayah pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan sehingga 30 Julai lalu dalam operasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kesemua mangsa telah diberikan perintah perlindungan interim (IPO) di rumah perlindungan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Rina, daripada jumlah itu, 35 mangsa telah mendapat perintah perlindungan dan majoriti mereka merupakan buruh paksa, pemerdagangan seks dan penjualan kanak-kanak dari Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Bertindak atas maklumat, setiap aduan, jelas Rina, akan disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelamatkan mangsa serta menangkap individu yang terlibat dalam sindiket itu.

Sehingga kini, kata beliau, kerajaan telah menyediakan rumah-rumah perlindungan khusus untuk menempatkan mangsa wanita, lelaki serta kanak-kanak yang telah beroperasi di seluruh negara

Rina berkata, lima buah rumah perlindungan wanita terdapat di Kuala Lumpur sementara di negeri-negeri Johor, Sabah dan Kelantan pula mempunyai sebuah pusat yang sama.

Di Melaka pula, terdapat sebuah rumah perlindungan untuk menempatkan mangsa lelaki manakala dua buah penempatan sama terdapat di Negeri Sembilan dikhususkan untuk kanak-kanak.

Terdapat juga dua buah rumah perlindungan yang diusahakan oleh NGO di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Selain menyelamatkan mangsa, tambah Rina, pelbagai aktiviti serta kursus turut disediakan kepada mereka termasuk bengkel kemahiran, latihan dan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Melalui KPWKM, kita beri latihan pembelajaran TVET supaya mereka ini ada sesi mendapatkan kemahiran apabila keluar dapat membantu mereka cari pekerjaan dan sebagainya,” kata Rina ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita di ibu negara pada Khamis.

Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.