KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Sebanyak 73 penjawat awam telah disiasat atas dakwaan berkaitan unsur pemerdagangan manusia sepanjang tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, 40 orang daripada jumlah yang ditahan itu merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Hamzah, daripada 40 pegawai JIM itu, enam orang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima lagi di bawah Akta Imigresen dan 27 lagi dikenakan tindakan tata tertib seperti digantung dan dibuang kerja.

Manakala dua lagi pegawai, jelas Hamzah, telah meletakkan jawatan.

Sementara daripada 33 penjawat awam yang ditahan pula, kata beliau, 13 telah dituduh, 16 telah dibebaskan dan baki sebanyak empat lagi individu masih dalam siasatan.

“Ini membuktikan kita beri tumpuan apabila ada laporan datang daripada semua pihak, kita cuba untuk menentukan segala apa yang di tangan kita, akta perlu tambah baik, kita buat penambahbaikan seperti baru baru ini diluluskan pada Mac sehingga ada pindaan,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita di ibu negara pada Khamis.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mengulas lanjut, Hamzah menggesa pada orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada kementerian dan agensi yang bertanggungjawab, agar jenayah pemerdagangan manusia dapat dikekang.

Katanya, jenayah pemerdagangan manusia memberikan kesan yang tidak baik kepada imej negara akibat tindakan majikan yang zalim dan tidak bertanggungjawab terhadap pekerjanya terutama warga asing.

“Saya nak maklumkan media dapat menguar-uarkan, kita tidak mahu melihat negara ini ada ‘modern slavery’ (perhambaan moden) (dan) memberikan imej negara agak buruk.

“Ia bermula (dengan) tanggungjawab majikan itu sendiri, kalau dia tidak bayar gaji pekerja akhirnya pekerja tersebut terjatuh ke dalam masalah ini, menjadi mangsa yang bekerja tanpa imbuhan, ia secara automatik diperdagangkan,” kata Hamzah lagi.

Sehubungan itu, tegas Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak sekiranya terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.