KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua Bahagian (Penaja) BERSATU Rembau Mohd Nazree Mohd Yunus berterima kasih kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikannya dalam jawatan itu.

Beliau berkata turut berterima kasih kepada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith yang telah memberikan sokongan terhadap pelantikan ini.

“Justeru, BERSATU Rembau akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan saf pimpinan di peringkat Bahagian dan mendekati golongan muda.

“Ini dalam usaha kita menawarkan kepimpinan yang berasaskan ‘Political Knowledge, Political Engagement dan Political Value’. Rejuvenasi gerakan massa BERSATU Rembau juga akan dilaksanakan dan distruktur kembali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nazree, amanah merupakan tanggungjawab dan bukanlah suatu kemahsyuran.

“Menginsafi perkara ini, maka pendekatan Islah Mastata’tu (berusaha sedaya upaya melakukan perubahan ke arah kebaikan) mesti menjadi agenda ahli-ahli BERSATU di Rembau,” katanya.

Tegasnya, ahli-ahli BERSATU Rembau digesa untuk menjadi agen Islah dan perubahan yang menepati citra rakyat dan anak-anak muda.

Katanya, sokongan dan kehendak anak-anak muda, kumpulan profesional, komuniti desa dan rakyat marhaen akan menjadi keutamaan BERSATU Rembau.

“Ini dalam usaha kita menambahkan ahli, cawangan dan dukungan rakyat umum,” katanya.

Dalam pada itu, Nazree berkata tumpuan juga akan diberikan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan meneliti pendekatan terbaik untuk membawa Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU memenangi Parlimen Rembau.

Katanya, ini termasuk 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Paroi, Kota, Chembong dan Rantau.

“Sokongan masyarakat berbilang kaum diperlukan oleh BERSATU dan PN dalam merealisasikan hasrat ini.

“Hubungan semasa antara BERSATU Rembau dan parti-parti dalam gabungan PN serta parti yang mendukung Kerajaan Persekutuan akan dikekalkan selaras dengan pendirian pucuk pimpinan pusat buat masa ini.

“BERSATU Rembau akan memberikan tumpuan kepada pendekatan ‘Rembau Prihatin’ dalam menyantuni rakyat terbanyak khususnya anak-anak muda di bandar dan juga kampung,” katanya.