KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bekerjasama dengan parti gabungan Melayu lain untuk melakukan perubahan.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata parti-parti yang terlibat GTA adalah parti yang kurang popular dan tidak dikenali umum.

“Perlu diingat parti Pejuang terlalu muda usianya dan kecil pengaruhnya dimana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini kita dapat lihat buktinya apabila semua calon hilang deposit begitu sahaja.

“Gabungan GTA seperti Parti Putra Bumiputera Perkasa Melayai (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) juga adalah parti yang kurang popular dan tidak dikenali umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Khairul menyambut baik hasrat Dr Mahathir tentang gabungan ataupun pakatan parti baru yang ingin ditubuhkan negarawan itu.

Katanya, matlamat yang serupa dengan gabungan sedia ada Perikatan Nasional (PN) untuk menentang rasuah dan salah guna kuasa khususnya dari kalangan pimpinan UMNO seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Khairul yang juga Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai berkata persepsi awal pengundi dalam konteks PRN Johor Pejuang dilihat kurang diberi perhatian kerana perjuangan yang sama dengan parti lain walaupun diketuai oleh seorang negarawan.

Katanya, pada pandangan umum Pejuang lemah dan tidak berwibawa untuk mengetuai gabungan GTA yang bakal ditubuhkan ini untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

“Hal ini menyebabkan gabungan GTA di kalangan parti minoriti susah memberi kesan dan impak kepada perubahan negara kecuali mereka mengambil keputusan untuk bergabung dengan parti sedia ada seperti Perikatan Nasional (PN) yang sudah dikategorikan sebagai parti dominan Melayu selepas UMNO-BN berdasarkan realiti Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Sebagai seorang negarawan yang terulung Tun harus faham dimana masalah peribadi harus diketepikan dan matlamat terhadap rakyat dan Negara harus diutamakan,” katanya.

Tambahnya, tidak ada dosa parti lama Dr Mahathir terhadap beliau kecuali tempias akibat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu yang menyebabkan kita semua dikatakan pengkhianat.

Katanya, Dr Mahathir perlu muhasabah dan melihat kepada nilai positif sebagai seorang negarawan yang ‘ultra malay’ sudah tentu beliau sedar hakikat yang sebenarnya beliau hanya memecah belahkan orang Melayu bukan menyatukan di bawah satu rumpun perjuangan.