KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kepada penghendap, anda perlu berhati-hati selepas ini kerana pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

“Sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap,” menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen.

Rang undang-undang itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, rang undang-undang yang bertujuan meminda Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) turut dibentang.

Menurut Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 itu antaranya, memasukkan bab baharu Xa ke dalam Akta 593 untuk memberi mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan suatu perintah perlindungan terhadap seseorang yang sedang disiasat bagi atau dipertuduh dengan kesalahan menghendap di bawah seksyen baharu 507a Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan berkata bacaan kali kedua, kedua-dua rang undang-undang tersebut akan dibentang pada persidangan akan datang.

Sebelum ini terdapat cadangan kerajaan untuk menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah.

Usaha itu telah dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Anti-Stalking sejak 2019.