KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Syor penubuhan mahkamah khas rasuah secara khusus di semua peringkat penghakiman adalah antara beberapa cadangan utama dibangkitkan dalam laporan tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Buku laporan tahunan JKMR 2020 itu diserahkan pengerusinya merangkap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Ketua Majlis Parlimen di sini, hari ini.

Mengenai syor mahkamah khas rasuah, Rais berkata, penubuhan institusi itu perlu membabitkan hakim berkepakaran jenayah rasuah yang tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, penentuan had masa pada sesuatu peringkat mahkamah juga harus ditentukan undang-undang dengan perkara itu akan diperhalusi JKMR bersama pihak berkaitan dalam tempoh singkat.

Katanya, sesi libat urus bersama pihak berkaitan sudah pun dilakukan dengan perkara itu turut dibangkitkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara, selain pihaknya akan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menubuhkan jawatankuasa bersama bagi membincangkannya.

“Ia akan memberi suasana, kepakaran, ketetapan dan kejituan mahkamah khusus mengenai rasuah. Ini berkait langsung dengan kedudukan Malaysia yang semakin menurun, misalnya kita berada di tahap 62 di peringkat global dan ia wajar diberi perhatian.

“JKMR sudah mengemukakan syor yang menjadi antara cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan, selain kita akan bawa balik isu ini di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan dan memberi rundingan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menghubungi badan kehakiman.

“Dalam jawatankuasa itu nanti kita akan dapat butiran yang boleh membantu ke arah pewujudan mahkamah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan buku laporan tahunan itu.