JOHOR BAHRU, 5 Ogos – BERSATU Johor menggesa kerajaan negeri untuk memberikan tumpuan yang penuh dalam menyelesaikan masalah halangan sistem perparitan dan saliran utama sedia ada susulan banjir kilat yang melanda Johor Bahru baru-baru ini.

Setiausaha Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Uzzair Ismail berkata ini agar permasalahan banjir kilat itu tidak berulang dari masa ke masa.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor semalam yang dipengerusikan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Tambah Uzzair, tindakan yang boleh dilaksanakan adalah menyelenggara dan menaiktaraf peralatan mekanikal melibatkan sistem pam.

Katanya, ini agar dapat berfungsi pada kapasiti maksimum dan bukan hanya menyalahkan kadar taburan hujan yang tinggi sebagai asbab berulangnya kejadian banjir kilat.

Selain itu, mendepani cabaran semasa, mesyuarat telah membincangkan secara terperinci mengenai strategi dan pendekatan intervensi khusus BERSATU bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Sementara itu, mesyuarat merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan kejayaan Dewan Negara meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mesyuarat juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, atas kejayaan Malaysia menarik pelaburan sebanyak RM107.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Mesyuarat turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, atas pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham yang telah berjaya meraih lapan pingat termasuklah tiga pingat emas, setakat ini.