JITRA, 5 Ogos – BERSATU mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Konvensyen Barisan Nasional (BN) berhubung mempunyai kuasa melantik menterinya bagi memberi ‘minyak’ kepada jentera gabungan itu di Selangor.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau amat bimbang dengan sikap Ismail Sabri mutakhir ini.

“Ini timbulkan persoalan mengenai integriti, kredibiliti dan amanah dia.

“Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri hasil sokongan daripada BERSATU dan Perikatan Nasional (PN). Kita sokong untuk dia mengekalkan usaha-usaha integriti dalam pentadbiran negara.

“Tetapi kenyataan hampir terus terang dan terbuka beliau itu satu perkara mengejutkan dan timbulkan persoalan sama ada beliau (masih) ada komitmen kepada reformasi institusi memastikan usaha memerangi rasuah atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Zumba di Tasik Darul Aman, di sini hari ini.

Ahad lalu, memetik ucapan Ismail Sabri di Konvensyen BN, beliau berkata BN Selangor tidak perlu risau, kerana Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar boleh memberi ‘minyak’ kepada BN Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Ismail Sabri, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan dilantik sebagai menteri Kabinet untuk membantu merampas kembali negeri itu daripada PKR.

Perdana menteri mendedahkan, ketika barisan Jemaah Menteri, beliau ingin melantik Noh sebagai Menteri Undang-undang namun Ahli Parlimen Tanjong Karang itu meminta beliau diberi portfolio yang “dekat” dengan rakyat.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata ucapan pemberian ‘gula-gula’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga membimbangkan.

Katanya, beliau bimbang sekiranya kleptokrasi rasuah zaman kronisme, dipelopori UMNO dan BN kembali desak Ismail Sabri.