JITRA, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membatalkan pertemuannya dengan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam pada saat-saat akhir.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pertemuan itu sepatutnya diadakan pada petang semalam bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

“Perdana menteri setuju adakan perjumpaan tersebut semalam jam 2.30 petang. Tetapi saya agak kecewa, perjumpaan itu dibatalkan minit-minit akhir oleh perdana menteri.

“Jadi kita menuntut, perdana menteri menunjukkan sikit rasa hormat kepada ahli-ahli parlimen di blok yang menyokong beliau,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Zumba di Tasik Darul Aman, di sini hari ini.

Katanya, jika Ismail Sabri boleh penuhi janji dan hormat dengan Pakatan Harapan (PH), beliau mempersoalkan kenapa tidak kepada PN.

Jelasnya, sedangkan PN blok terbesar yang menyokong beliau untuk menjadi perdana menteri.

Pada Rabu lalu, Hamzah dilaporkan berkata akan bertemu Ismail semalam bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara PN dan perdana menteri.

Pada 28 Julai lau, PN menyatakan kekecewaan mereka terhadap Ismail kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma penting” itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Hamzah dalam kenyataan berkata, PN mahu menghantar wakilnya untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan “terma-terma perjanjian” dalam masa terdekat.

Sebelum ini didedahkan bahawa Ismail menandatangani perjanjian dengan PN sebelum naib presiden UMNO itu dilantik sebagai perdana menteri ke-9 pada Ogos 2021.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata beliau bimbang Ismail telah berubah menjadi perangai UMNO yang lama.

Beliau berkata BERSATU menyokong Ismail Sabri kerana yakin beliau boleh menjadi perdana menteri yang mempunyai integriti.

“Tetapi akhirnya sekarang (dilihat cenderung) menjilat golongan kleptokrat dalam UMNO.

“Kita faham Ismail risau tak dapat watikah pencalonan daripada Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden UMNO), tetapi jangan sampai jual diri begitu sekali,” katanya.