JITRA, 5 Ogos – Tindakan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang ingin menyertai Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai memalukan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau amat kesal dengan tindakan pemimpin PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini pernah menyertai PKR, kemudian Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), kini kembali melutut kepada BN demi kuasa.

“Ini satu perkara memalukan. Daripada sejarahnya dalam PKR, dalam PH, sejarah dalam PN, tiba-tiba melutut kembali kepada BN demi kuasa.

“Bagi saya ini satu perkara kesal (untuk) lihat perkembangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Zumba di Tasik Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun secara sinis mengucapkan ‘selamat maju jaya’ kepada PBM untuk meyertai BN.

“Selamat berjaya untuk mereka (PBM),” katanya.

Pada Rabu lalu, bakal Presiden PBM, Zuraida berkata BN belum memberi maklum balas berhubung permohonan PBM untuk menyertai gabungan itu.

Zuraida berkata pihaknya menghantar surat permohonan untuk menyertai BN pada tiga minggu lalu.

Jun lalu, Zuraida selepas diumum sebagai bakal presiden PBM memaklumkan akan mengetuai perbincangan parti itu dengan BN untuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN memaklumkan pihaknya terbuka untuk menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip BN termasuk PBM.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam tidak memberi ancaman kepada Perikatan Nasional (PN), BN, dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata bagaimanapun GTA boleh memecahkan undi dalam PRU15 nanti.

“Saya rasa BN kekal kelompoknya, PH dah stabil dan PN semakin lama semakin berkembang.

“Saya rasa tidak akan jadi ancaman terlalu besar. Tetapi boleh bawa kepada perpecahan undi yang akan untungkan pihak satu lagi terutama sebelah Umno, BN dan PH. Jadi perkara ini akan diperhatikan dalam pilihan raya,” katanya.