KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pelantikan Nurul Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) adalah amat bertepatan dengan aspirasi BERSATU untuk menjadikan Sayap Srikandi Muda sebagai sumber kekuatan baharu bagi meraih sokongan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Fadzilah dan Suhainna adalah professional muda yang mempunyai komitmen tinggi dalam parti dan sentiasa aktif dalam gerak kerja parti di peringkat cawangan dan bahagian masing-masing.

“Selamat menjalankan tugas Nurul dan Suhainna,” katanya.

Terdahulu, Fadzilah dan Suhainna mengadakan pertemuan bersama Hamzah di ibu negara, pada Khamis.

Fadzilah, 32 tahun, adalah seorang peguam muda yang mempunyai firma guaman sendiri manakala Suhainna, 28 tahun adalah seorang graduan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Belia.

Baru-baru ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada Selasa yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Fadzilah dan Suhainna memimpin Sayap Srikandi Muda bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda.

“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan ianya juga mencerminkan kesiapsiagaan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 pada bila-bila masa,” kata kenyataan yang dikeluarkan Hamzah.