KUALA TERENGGANU, 5 Ogos – UMNO akan terus kekal menjadi parti retorik politik yang kononnya ingin memperjuangkan untuk bangsa Melayu, agama Islam dan kestabilan negara.

Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata sedangkan UMNO bukan sahaja gagal tetapi telah merosakan imej negara dengan pemimpin kleptokrasi.

“Rekod dan sejarah telah membuktikan dominasi UMNO dalam BN dan kerajaan telah mendorong kepada salah guna kuasa, penyelewengan, keangkuhan pemimpin, lahirnya warload, kronism, pendakwaan terpilih dan campur tangan politik dalam pentadbiran secara melampau.

“Segala kerencatan ekonomi, sosial dan politik adalah hasil peninggalan BN (Umno) setelah lebih 60 tahun berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang inginkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.

Tambahnya, fasa demensi baru pentadbiran negara baru bermula melalui PRU14 selepas 2018.

Katanya, terbukti UMNO kekal angkuh dan sombong yang tidak sudi berkongsi kuasa untuk kestabilan negara meskipun negara dan dunia dilanda bencana COVID-19.

“Rentasan masa yang dilalui menjadikan ‘Akar Umbi’ hilang hak untuk menentukan hala tuju perjuangan parti.

“Pemimpin mengatur dan menyusun skrip untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

“Prinsip, maruah dan intergriti dijual beli mengikut kesesuaian harga yang ditawarkan. ‘Harga Diri’, jika kena pada nilainya itulah tafsiran ‘Perjuangan’ dan ‘Pengorbanan’ kepada rakyat dan negara,” katanya.