PUTRAJAYA, 6 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin mampu mencapai RM15 bilion dalam peningkatan nilai jualan syarikat francais bagi tahun ini, susulan inisiatif yang dilaksanakan untuk menyokong daya saing sektor berkenaan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sangat optimis perniagaan francais terus berkembang pesat dan segenap usaha serta inisiatif yang dilaksanakan kementerian sekali gus merekodkan sebanyak 1,137 syarikat francais didaftarkan sehingga kini.

Katanya, sebanyak 36 peratus daripada 1,137 syarikat adalah dalam segmen makanan dan minuman, manakala sejumlah 68 syarikat francais tempatan pula berjaya menembusi pasaran antarabangsa yang kini berada di 70 buah negara.

“Usaha keras kementerian membangunkan industri francais dapat dilihat daripada statistik Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF) yang wajib dikemukakan oleh syarikat pada setiap tahun.

“Berdasarkan LTPF 2020, nilai jualan syarikat francais meningkat kepada RM14.6 bilion berbanding RM13.3 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 9.7 peratus dan ia dijangka meningkat sehingga RM15 bilion tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Francais NY Steak Shack (NYSS) di IOI City Mall, di sini, hari ini.

Rosol berkata, bagi inisiatif kementerian menerusi Program Francais Mikro dan Mampu Milik yang menetapkan modal permulaan bawah RM100,000 berjaya menarik lebih ramai rakyat merebut peluang untuk berniaga.

Kewujudan program ini juga, katanya, ia dapat memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40 untuk meningkatkan taraf hidup dengan menjana pendapatan sebagai peniaga francais serta mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Sehingga hari ini, sebanyak 33 permohonan Geran Padanan (Matching Grant) berjumlah RM2.4 juta diluluskan kementerian di bawah program ini, manakala bagi permohonan Geran Penuh (Full Grant), sebanyak 14 permohonan diluluskan berjumlah RM1.4 juta.

“Saya berharap dan yakin lebih ramai potensi francaisi menunjukkan hasrat untuk memulakan perniagaan francais.

“Industri francais mampu memberi satu dimensi baharu terutama kepada golongan muda, siswazah dan golongan B40 dan M40 yang berminat menceburi perniagaan dan menjadi pencipta pekerjaan atau job creator berbanding terkepung dalam lingkungan pencari kerja atau job seeker,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Eksekutif Revenue Valley Sdn Bhd, Daniel Chan berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak lapan francais NY Steak Shack di seluruh negara dengan nilai pelaburan mencecah RM5 juta.

“Kita berharap cawangan yang akan dibuka dengan beberapa pihak pelabur akan memberi peluang kepada sektor francais dan pelbagai pilihan kepada peminat makanan barat yang mampu milik tetapi kualiti yang tinggi,” katanya.