KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Tindakan tidak berperikemanusiaan Isreal yang terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza wajib dikecam oleh semua pihak.

Ketua Armada BERSATU Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keganasan rejim Zionis yang semakin menjadi-jadi itu tidak boleh dibiarkan.

“Hari ini sahaja dikatakan 15 orang terbunuh manakala 120 yang lain cedera akibat hentaman bom demi bom oleh Israel di Semenanjung Gaza!.

“Kita wajib mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berprikemanusiaan ini!,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, dalam masa sama turut menyelar sikap membisu dunia barat mengenai kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin itu.

“Cukup aneh dan pelik melihatkan dunia barat yang terus-menerus membisu seolah-olah mengiyakan segala tindak-tanduk Israel,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk membantu rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza dengan apa sahaja cara yang termampu.

Pada Sabtu, Israel melakukan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza dan sebuah kumpulan pejuang Palesyin bertindak balas dengan serangan roket, dalam insiden terburuk sejak perang tahun lalu.

Pihak berkuasa kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas berkata, 10 orang terbunuh susulan pengeboman oleh tentera zionis termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, manakal 75 yang lain cedera.

Israel menganggarkan bahawa operasi itu membunuh 15 pejuang Palestin.