PASIR PUTEH, 7 Ogos – Kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Selising dekat sini, yang menelan belanja berjumlah RM256 juta akan bermula pada awal tahun hadapan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan kompleks sukan di atas tanah berkeluasan 73.6 hektar itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut komponen-komponen kemudahan yang diperlukan.

Menurutnya, bagaimanapun tender awal pembinaan itu dikeluarkan pada penghujung bulan hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.

“Kompleks sukan ini bakal mempunyai kemudahan ruang pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium.

“Komponen kompleks ini merangkumi stadium utama berkapasiti 20,000 penonton yang dilengkapi dengan padang bola sepak dan trek olahraga selain arena tertutup yang boleh memuatkan 1,000 penonton dengan gelanggang pelbagai guna,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak berkenaan di Bukit Merbau, di sini hari ini.

Mustapa memberitahu, kompleks tersebut turut dilengkapi stadium hoki dengan astaka yang berkapasiti 500 penonton serta dua buah padang, pusat skuasy dengan kapasiti 100 penonton bersama lapan gelanggang kekal dan satu gelanggang skuasy mudah alih.

Katanya, dua gelanggang lawn bowl berbumbung dengan kapasiti 200 penonton dan lapang sasar menembak dengan kapasiti 100 penonton dilengkapi dengan kemudahan ‘Indoor Shooting’ 30 meter (30 lorong), dan ‘Outdoor Shooting’ 25 meter dan 50 Meter sebanyak 15 lorong akan turut dibangunkan.

“Saya difahamkan kemudahan jalan masuk berturap empat lorong akan dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang turut merangka untuk menjadikan kawasan lebih 130 hektar sebagai bandar sukan di negeri ini.

“Projek ini diluluskan oleh kerajaan persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Kemudahan ini akan menjadi sejarah baharu buat Kelantan yang akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026,” ujarnya.

Mustapa berkata, peruntukan ini memperlihatkan komitmen di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam membangunkan kemudahan yang mengutamakan aspek gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.