SERDANG, 7 Ogos – Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperkenalkan sejak Februari tahun lepas, telah berjaya membantu pesawah meningkatkan produktiviti hasil padi mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, SMART SBB yang merupakan hala tuju baharu bagi industri padi dan beras negara telah dilaksanakan di sembilan buah negeri melibatkan hampir 5,000 pesawah dengan keluasan melebihi 11,000 hektar.

“Dari segi prestasi pelaksanaan, program membabitkan 24 syarikat termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini, telah terbukti dapat meningkatkan purata hasil padi sehektar di kawasan-kawasan terlibat.

“Sebagai contoh di Sekinchan, Selangor, kawasan padi seluas lebih 100 hektar telah berjaya meningkatkan purata hasil hampir empat kali ganda, iaitu daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Laman Padi serta Pelancaran Logo SMART SBB dan Sistem Pengurusan Maklumat Beras (Rice Information Management System-RIMS), Ladang’57 iaitu Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Ahad.

Ronald berkata, kejayaan program SMART SBB juga telah dimanifestasikan dalam penghasilan produk baru oleh syarikat peneraju, yang terlibat membabitkan produk berasaskan varieti beras istimewa iaitu Ladang’57 Beras Wangi HoReCa, yang dihasilkan peserta program di Seberang Perak, Perak dan Barat Laut, Selangor.

“Melangkah ke hadapan, pada hari ini kita juga menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) SMART SBB antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan tiga lagi syarikat peneraju iaitu Syarikat Mastani Sdn Bhd, Konsortium Padi dan Beras Rakyat Sdn Bhd serta Syarikat Qudsi Global Sdn Bhd.

“Diharapkan, lebih banyak syarikat swasta akan menyertai program SMART SBB ini, bagi terus menjayakan matlamat yang disasarkan oleh kerajaan iaitu tahap sara diri (SSL) beras kepada 75 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.

Mengenai Aplikasi Rice Information Management System (RIMS) yang dilancarkan pada Ahad, beliau berkata, aplikasi berkenaan adalah satu sistem sokongan keputusan digital.

“Ia menggunakan teknologi Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan, data raya (big data), dan teknologi sensor atau satelit untuk memberikan nasihat masa nyata (real time), ramalan, dan preskripsi untuk industri penanaman padi,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan evolusi yang sedang berlaku di peringkat global dan juga domestik, kerajaan akan terus berusaha melakukan perubahan positif untuk pembangunan industri padi dan beras negara.