PUCHONG, 7 Ogos – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun hadir merasmikan Program Skuad Waja Negeri Selangor Siri 2 yang berlangsung di Dewan Besar LKIM, di Pulau Meranti, hari ini.

Program ini disertai lebih 200 ahli Skuad Waja yang menyatakan komitmen untuk menjadi ejen, mata dan telinga bagi pihak kerajaan serta sedia bergerak sebagai satu pasukan.

Ia bertujuan bagi menangani masalah psikososial terutamanya isu keganasan rumah tangga.

“Alhamdulillah, program kali ini mencatatkan penyertaan memberangsangkan daripada penduduk setempat. Terima kasih kepada semua yang hadir!

“Tahniah dan syabas juga buat Pengerusi- pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Puchong yang sangat proaktif mempromosi Skuad Waja kepada para penduduk. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama!” kata Rina.

Dalam program itu Rina menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada KRT Pangsapuri Kenanga atas keahlian Skuad Waja yang tertinggi.

“Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada KRT dalam menjalankan program dan aktiviti untuk masyarakat setempat,” katanya lagi.