SERDANG, 8 Ogos – Sebanyak 22 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara enam ejen pemasaran antarabangsa dengan nilai dagangan berjumlah RM451 juta.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perkembangan itu merupakan satu permulaan baik buat industri PKS dalam menembusi pasaran Asia Pasifik.

Beliau berkata, tumpuan dagangan akan diberikan pada beberapa buah negara di Asia Pasifik seperti China, Jepun dan Australia.

“Saya percaya usaha ini akan diperkembangkan dengan sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya dalam sidang media di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Terdahulu Ronald dan Azmin menyaksikan Majlis Pemeteraian MoU Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di antara 22 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa

Dalam perkembangan sama, Ronald Kiandee berkata, MoU yang ditandatangani hari ini adalah usaha kerajaan mengangkat promosi produk hiliran dan PKS ke peringkat antarabangsa.

“MoU ditandatangani pelbagai pihak antara pihak perusahaan antarabangsa dan tempatan, begitu juga pengusaha tempatan dengan pengusaha tempatan.

“Ini tentu sekali mengangkat produk PKS ke negara luar melalui agen pemasaran memberi ruang produk tempatan untuk dihantar ke luar negara.

“Kita mempunyai banyak produk tempatan, sebahagian besar memenuhi ketetapan dan syarat antarabangsa jadi menerusi MoU ini tentu sekali mengangkat pengusaha PKS ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.