LANGKAWI, 8 Ogos – Amar Pared Mahamud dilantik secara rasmi sebagai Ketua Bahagian BERSATU Langkawi, Sabtu lalu.

Penyerahan watikah pelantikan itu disampaikan Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Turut serta, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Dalam pada itu, Amar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi peluang kepada pimpinan anak muda untuk menerajui parti politik.

“Menerima amanah dan watikah Ketua Bahagian secara rasmi daripada Presiden BERSATU untuk mengepalai BERSATU Bahagian Langkawi untuk kali ini.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan parti dan ahli parti kerana memberi peluang kepada pimpinan anak muda untuk menerajui parti politik kali ini.

“Semoga muka-muka baharu dalam pentadbiran BERSATU Langkawi di peringkat Bahagian dan Cawangan yang dilantik kalangan anak muda dapat menjalankan tugas dengan baik untuk sesi kali ini,” katanya.

Selain itu, turut menerima watikah pelantikan adalah Ketua Armada BERSATU Langkawi, Nasri Rosidi.

Terdahulu, Majlis Perjumpaan Khas Naib Presiden BERSATU Malaysia bersama Pimpinan Bahagian, Sayap dan Cawangan BERSATU Langkawi telah diadakan sebagai usaha memperkasa parti bagi menghadapi cabaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.