PUCHONG, 8 Ogos – Pemerintahan junta di Myanmar masih lagi tidak memberikan kerjasama membabitkan pihak antarabangsa untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata ketika ini, ada kebimbangan dalam kalangan negara anggota mengenai ketelusan pengagihan bantuan kemanusiaan yang disalurkan, sama ada ia sampai kepada semua pihak terjejas atau sebaliknya.

Beliau berkata, situasi di negara berkenaan kini berdepan krisis yang rumit kerana membabitkan kuasa junta serta pihak lain.

“Apakah jaminan bahawa semua bantuan itu sampai kepada semua pihak? Yang dibimbangi berlaku diskriminasi.

“Satu kaedah untuk memastikan perkara itu tidak berlaku ialah dengan perlunya ada banyak pembabitan antarabangsa. Kita mencadangkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) harus dibawa bersama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN Ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, Malaysia turut mencadangkan negara anggota ASEAN untuk menghantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersesuaian ke Myanmar.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai organisasi masyarakat sivil (CSO) seperti Mercy Malaysia ,yang dicadangkan untuk dihantar ke Myanmar, berikutan ia berpengalaman di Rakhine.

“Mereka sudah ada sedikit latar belakang dan ada sukarelawan di Myanmar yang boleh membantu,” katanya.

Semalam media melaporkan, ahli pengasas Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M), Yanghee Lee, sebagai berkata, ASEAN perlu merangka formula baharu untuk menyelesaikan krisis di Myanmar selepas Konsensus Lima Perkara (5PC) dilihat tidak berkesan dalam menangani situasi di negara berkenaan.

Lee dilaporkan berkata, pemimpin ASEAN perlu berhenti berharap bahawa Ketua Tentera, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, untuk melaksanakan 5PC yang dipersetujui ketika Mesyuarat Pemimpin ASEAN (ALM) di Jakarta pada April 2021.

Pelaksanaan 5PC antara lain menyeru supaya keganasan dihentikan segera di Myanmar, mengadakan dialog membabitkan semua pihak yang berkenaan, melantik utusan khas ASEAN bagi memudahkan pengantaraan, penyediaan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak berkaitan.

Bagaimanapun, 5PC gagal membuahkan hasil seperti yang diharapkan selepas lebih satu tahun persetujuan mengenai perkara itu dimeterai.