KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – “Jika kapal pertama pun perlu dua tahun lagi, apa yang dibina oleh kontraktor dilantik selama ini?”

Itu persoalan yang dilontarkan Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, Badrolhisham Shafie susulan kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berharap kapal pertama Littoral Combatant Ship (LCS) mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi.

Badrolhisham berkata soal bila kapal disiapkan bukan perkara utama tetapi mempertikaikan bayaran sebanyak RM6 bilion dibuat sedangkan ianya gagal disiapkan.

“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah dedahkan kebarangkalian besar wujudnya ‘penyelewengan dan salah guna kuasa’ dalam pengurusan projek.

“Rakyat tidak lagi kisah bila kapal akan siap. Tapi rakyat nak tahu kenapa bayaran RM6 billion dibuat tapi kapal tak siap?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sewaktu menjawab soalan di Dewan Negara pada Isnin, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Kabinet telah memberi tempoh enam bulan untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek tersebut.

Hishammuddin berkata, beliau sendiri akan memberi laporan kepada orang ramai dan Kabinet mengenai tahap penyiapan projek yang kini sudah menelan belanja sekitar RM6 bilion.

Isu berkenaan kapal perang berkenaan kembali menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Mengulas lanjut, Badrolhisham berkata rakyat menunggu siapa yang sepatutnya bertanggungjawab di atas kecuaian dan gagal menjaga kepentingan negara yang diamanahkan.

“Rakyat menunggu ‘seseorang’ tampil mengambil tanggungjawab moral membuat kenyataan penuh dan melepaskan jawatan atas kecuaian dan kegagalan menjaga kepentingan negara yang diamanahkan,” katanya.