KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Susulan gesaan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion, yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seorang pemimpin politik memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani masalah yang dihadapi negara ketika ini.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata skandal LCS bukan isu kecil malah lebih membimbangkan ia melibatkan maruah kedaulatan dan keselamatan negara.

Beliau juga menempelak kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berharap kapal pertama LCS mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi.

“Ini bukan soal kapal siap ataupun tidak. Persoalan harus dijawab, mana perginya peruntukan yang telah dibayar tetapi kapal tak ada?

“Adakah kita bina kapal halimunan? Rakyat bukannya bodoh.

“RCI itu perlu agar siasatan secara menyeluruh dibuat tanpa campur tangan mana-mana ahli politik dan kerajaan. Saya mohon perkara ini dibawa ke perhatian Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Katanya, siasatan oleh badan bebas dapat membongkar permasalahan sebenar siapa dalang yang mengancam kedaulatan serta keamanan negara.

“Jika kita tengok persediaan perang yang berlaku antara China dan Taiwan, kita dilihat sangat hampir untuk berdepan Perang Dunia Ketiga pada bila-bila masa.

“Ini kita baharu sahaja mendapat tahu mengenai aset sebanyak RM6 bilion yang tidak ada, berapa banyak lagi ketirisan yang berlaku dalam kerajaan dan kita tidak tahu?” katanya.

Sewaktu menjawab soalan di Dewan Negara pada Isnin, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Kabinet telah memberi tempoh enam bulan untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek tersebut.

Hishammuddin berkata, beliau sendiri akan memberi laporan kepada orang ramai dan Kabinet mengenai tahap penyiapan projek yang kini sudah menelan belanja sekitar RM6 bilion.

Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion, yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa, petualang di sebalik skandal itu akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dipertaruhkan.

Katanya, RCI itu juga akan memastikan ketelusan dalam siasatan dan memastikan mereka yang bersekongkol dengan rasuah didedahkan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Share this page to Telegram