SERDANG, 8 Ogos – Langkah meratifikasi atau pengesahan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketika ini masih terdapat empat undang-undang di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang perlu dipinda sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

“Kami mahu ia selesai pada suku ketiga tahun ini tetapi kerana persidangan Parlimen telah tamat dan terdapat pindaan yang perlu dilakukan, kami berharap keseluruhan proses itu akan selesai pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita di luar Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membentangkan penemuan analisis kos dan faedah (CBA) CPTPP kepada Kabinet bulan lepas dan ia membuat kesimpulan bahawa manfaat ratifikasi CPTPP melebihi kos yang dijangkakan.

“Dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas, terdapat kos dan faedah yang perlu kita hargai dan terima dan dalam penemuan CBA ini manfaatnya melebihi kos,” katanya.

Azmin berkata, MITI akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memastikan semua pihak berkepentingan memahami dan mematuhi kewajipan mereka di bawah CPTPP.

“Saya ingin menekankan bahawa maklum balas daripada industri adalah positif, banyak kenyataan terbuka yang dibuat oleh dewan perniagaan menggesa menyegerakan ratifikasi perjanjian ini supaya kita boleh mendapat manfaat sebagai ahli CPTPP,” katanya.