KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Sayap Bersekutu BERSATU sedang merangka “blueprint” bagi menarik sokongan orang bukan Melayu menyertai parti itu.

Ketua Sayap Bersekutu BERSATU, Dr Chong Fat Full berkata, menerusi rangka tindakan itu, pihaknya akan membuat jelajah dan program bagi menarik minat rakyat, terutamanya pengundi atas pagar.

“Ramai golongan atas pagar yang kita boleh tarik penyertaan mereka. Kalau ikut penyelidikan, ramai yang belum buat keputusan lagi, mereka tentunya golongan berpotensi, dan lain-lain usaha akan dibuat supaya dapat tarik sokongan bukan Melayu untuk Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Bekas ADUN Pemanis itu berkata demikian ketika ditanya usaha bagi menarik orang bukan Melayu menyokong BERSATU, selepas pengunduran Edmund Santhara Kumar daripada mengetuai sayap berkenaan.

Ditanya mengapa orang bukan Melayu perlu menyertai BERSATU sedangkan parti itu dipelopori satu bangsa saja, Chong berkata, sayap yang dipimpinnya tidak memperjuangkan isu berasaskan kaum semata-mata, sebaliknya meliputi semua aspek.

“Sayap Bersekutu lebih kepada kepelbagaian isu daripada ‘champion’ (memperjuang) isu bangsa dan kaum. Saya rasa jalan ke hadapan untuk Malaysia bukan macam ni,” katanya dengan menambah sayap itu kini mempunyai 50,000 ahli di seluruh negara.

Pada 28 Julai lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima peletakan jawatan Santhara untuk memfokuskan kawasan Parlimen Segamat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Chong menerima alasan Santhara untuk membuat persiapan menghadapi PRU15 kerana Parlimen Segamat merupakan kerusi panas dan bukan kawasan yang mudah dimenangi.

“Kawasan dia bukan mudah. Dia kena ada usaha lebih. Mungkin Santhara rasa saya lebih senang lepas pilihan raya negeri Johor dan serah tanggungjawab kepada saya. Dia ada tanggungjawab kepada kawasan dia,” katanya.