KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal tempur pesisir yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa maka petualang di sebalik skandal ini akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi.

“RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan, dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah.

“Saya juga menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini. SPRM mesti diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu berkenaan kapal perang berkenaan kembali menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Wan Saiful berkata apa yang membimbangkan ialah ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik skandal ini sedang cuba mengelak dan enggan bertanggungjawab ke atas skandal ini.

Katanya, sedangkan semua rakyat tahu mereka dan kuncu-kuncu mereka tidak malu langsung untuk merompak harta negara untuk dijadikan gula dan minyak yang memperkayakan diri.

“Jika tiada siasatan telus yang dijalankan, skandal pembelian LCS ini akan menjadi salah satu skandal mega sebagaimana 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di mata dunia dan mengaitkan Malaysia dengan skandal korupsi.

“Lebih buruk lagi jika ada usaha secara aktif untuk menyembunyikan apa-apa salah laku,” katanya.