KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Semua pihak diminta berhenti mengaitkan dan mempersoalkan mana-mana Ahli Parlimen dengan isu lompat parti sebaik Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diwartakan selepas ini.

Senator Datuk Razali Idris yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, ketika membahaskan usul RUU peringkat bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini, menjelaskan, ramai Ahli Parlimen dikategorikan sudah melompat parti sebelum ini, khususnya selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Contohnya, kata beliau, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang asalnya adalah dari Barisan Nasional (BN) dan keluar dari gabungan itu selepas PRU lalu, sebelum kembali menjadi sebahagian kerajaan hari ini.

“Pada 2018, kerajaan BN di Sabah juga jatuh sebab ada yang keluar sertai Parti Warisan (WARISAN). WARISAN tidak boleh tubuh kerajaan ketika itu sekiranya tiada lompatan dua atau tiga orang daripada BN untuk bersama mereka apabila kerajaan PH jatuh.

“Saya harap dengan pindaan ini, sejarah lompatan yang tidak bermaruah, memalukan dihentikan dan akhirnya kita mengangkat politik yang matang dan tidak laku lagi tawar menawar apa pun sekali selepas ini.

“Dengan sokongan ini, seharusnya tidak ada lagi mana-mana pihak menyalahkan sesiapa atau mengaitkan Ahli-ahli Parlimen dengan isu lompat parti. cukuplah dengan menjenamakan macam-macam tuduhan, terutama Ahli Parlimen yang berpindah parti pada sebelum akta ini diwujudkan,” katanya turut menggesa supaya RUU ini segera diwartakan sebelum PRU ke-15 akan datang.

Dewan Negara hari ini meluluskan RUU itu selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara, yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.

Undi belah bahagian peringkat bacaan ketiga yang dimulakan pada jam 5.43 petang, menyaksikan seramai 52 Ahli Dewan Negara menyokong, tiada yang tidak bersetuju dan tujuh tidak hadir.

Pada 28 Julai lalu, RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dijangka berkuat kuasa sebelum pertengahan September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu yang selesai proses kelulusannya di Parlimen akan dikembalikan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon perkenan baginda seperti diperuntukkan di bawah Perkara 66(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebaik RUU itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara akan sekali lagi mempersembahkan permohonan kepada baginda untuk mendapatkan perkenan baginda supaya RUU ini dapat dikuatkuasakan.