KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kadar pengangguran pada Jun berkurangan kepada 3.8 peratus, terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus (637,700 orang) pada Mei 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak April 2022, kadar pengangguran di bawah empat peratus berdasarkan definisi yang ditetapkan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Beliau berkata, pada Jun 2022, kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.57 juta orang (Mei 2022: 16.54 juta orang), sementara kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan itu kekal pada 69.5 peratus.

“Pencapaian pasaran buruh pada Jun 2022 adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa yang lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara. Permintaan terhadap buruh telah meningkat, sekali gus ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, Mustapa berkata, beberapa petunjuk utama ekonomi juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan, antaranya jumlah perdagangan meningkat sebanyak 43.4 peratus pada Jun kepada nilai tertinggi baharu sebanyak RM270.4 bilion dengan eksport mencatat peningkatan sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion; Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 12.1 peratus pada Jun 2022, tertinggi sejak Mei 2021, dengan semua komponen mencatat pertumbuhan positif.

Beliau berkata, sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan masing-masing mencatatkan peningkatan 14.5 peratus, 14.1 peratus dan 2.1 peratus; dan nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2022 meningkat sebanyak 23.4 peratus, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2021 dengan merekodkan nilai jualan sebanyak RM153.5 bilion.

Katanya, pencapaian itu dipacu terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang meningkat sebanyak 25.4 peratus.

Jelasnya, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus pada Jun 2022 kepada 15.94 juta orang (Mei 2022: 15.90 juta orang).

Mustapa berkata, bilangan penduduk bekerja bagi semua sektor ekonomi terus mengukuh pada bulan berkenaan kecuali bagi sektor perlombongan dan pengkuarian.

Katanya, peningkatan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan adalah dipacu oleh aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit dan aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.

“Ekonomi negara dijangka terus berkembang tahun ini pada kadar yang disasarkan, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus. Trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah di sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021).

“Dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menggambarkan momentum pemulihan yang lebih baik dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka akan bergerak ke trend jangka panjang,” katanya.