KOTA BHARU, 9 Ogos – Sekumpulan pelajar cedera selepas tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, ketika memaklumkan kejadian itu, berkata kesemua pelajar yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Selepas selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara sebentar tadi, saya menerima berita mengenai kejadian tangki air pecah di SMK Melor, Ketereh, Kelantan.

“Dimaklumkan beberapa orang murid mengalami kecederaan akibat kejadian tangki air pecah yang menimpa laluan pejalan kaki sekolah itu.

“Pelajar yang cedera sudah di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzi berkata, beliau sudah mengarahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya melaksana kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah itu dalam kadar segera.

“Ini bagi memastikan fasiliti dan infrastruktur sekolah berkenaan sentiasa berada dalam baikdan selamat untuk kegunaan warga sekolah.

“Sama-sama kita doakan agar mereka yang terbabit dalam insiden ini diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala,” katanya.