KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi pembiayaan kepada 100 usahawan perintis menerusi program Usahawan Skim Pemborong Sejuk Beku Perak SADC.

Melalui pembiayaan berkenaan, semua usahawan berkenaan akan dibekalkan dengan kemudahan satu unit peti sejuk beku dan pelbagai produk daging sejuk beku keluaran Eurofresh Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada Perak SADC.

Turut diadakan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perak SADC (pembiaya), Eurofresh Sdn Bhd (pembekal produk) serta Syarikat Dango Bukit yang menjadi pembimbing kepada program ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata menerusi Usahawan Skim Pemborong Sejuk Beku Perak SADC, usahawan yang terpilih khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah mampu menjana lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Katanya, menerusi peruntukan itu, usahawan terbabit akan menerima kemudahan peti sejuk beku atau Door Glass Sliding Chest Freezer serta produk daging sejuk beku keluaran Eurofresh Sdn Bhd.

“Usahawan program akan bertindak sebagai ejen yang memasarkan produk daging sejuk beku keluaran syarikat Eurofresh Sdn Bhd, yang juga anak syarikat Perak SADC.

“Kaedah atau pendekatan seumpama ini juga dilihat sebagai salah satu cara terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan daging sejuk beku keluaran tempatan, selain ia mampu meminimumkan kebergantungan masyarakat terhadap daging import,” katanya selepas melancarkan program Usahawan Sejuk Beku (freezer) di Pavilion Perak, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Eurofresh Sdn Bhd, Jasmeen Dhillon, Pengurus Besar Eurofresh Sdn Bhd, Mohamad Hisam Mohamad Yusof dan Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC, Mustafa Abdul Wahab.

Dalam permulaan program Usahawan Skim Pemborong Sejuk Beku, Perak SADC mengenal pasti sejumlah 100 usahawan yang bakal menerima peruntukan berjumlah RM3,000 dan mereka turut dipantau serta diberi khidmat nasihat bagi memastikan perniagaan dijalankan itu akan terus berdaya saing serta menjadi penyumbang dalam mengukuhkan lagi bidang sekuriti makanan.

Zainol Fadzi berkata, Perak SADC menjangkakan usahawan yang terbabit bakal memperoleh peningkatan pendapatan sehingga RM1,500 sebulan melalui program berkenaan.

“Kita mahu menyaksikan lebih ramai kejayaan penduduk luar bandar mengusahakan perniagaan sejuk beku kerana kita tahu pasaran daging cukup besar dan boleh dikembangkan melalui kerjasama strategik,” katanya.

Sementara itu, Jasmeen berkata, sebagai sebuah anak syarikat Perak SADC, menjadi tanggungjawab Eurofresh Sdn Bhd menyediakan pasaran perniagaan kepada anak tempatan.

“Objektif utama program ini adalah memastikan pasaran halal daging dicapai dengan meluas memandangkan kita turut berdepan dengan isu kartel daging dan produk import. Kita akan pastikan setiap daging yang diimport sama ada dari Australia, Brazil mahupun tempatan menepati setiap standard yang sudah ditetapkan.

“Kita juga mahu menyediakan pasaran yang boleh meminumkan harga kerana melalui program usahawan sejuk beku, kita tidak akan berurusan dengan orang tengah atau ejen bagi memastikan harga yang diterima peniaga dan pembeli tidak meningkat naik,” katanya.