KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Rang Undang-Undang mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti diharap dapat diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Senator BERSATU Datuk Razali Idris berkata ini memberi peluang kepada rakyat menghidupkan semula semangat demokrasi negara yang selama ini jauh tersasar dari politik demokrasi Berparlimen.

“Dalam usaha kita untuk memberikan makna sebenar undi rakyat, kita Ahli Dewan Negara juga bertanggungjawab menyokong 100 peratus RUU ini. InsyaAllah selepas ini tiada lagi berlaku lompatan mana mana pihak.

“Politik yang tidak berprinsip ini perlu diberhentikan dan adalah jalan terbaik RUU ini diwarta segera sebelum PRU15.

“Saya harap dengan pindaan akta ini tidak perlu lagi sejarah lompatan yang tidak bermaruah, memalukan. Akhirnya, hari ini kita mengangkat politik yang matang serta tidak laku lagi tawar menawar dalam bentuk apa sekali pun selepas ini.

“Dengan sokongan ini seharusnya tidak ada lagi mana-mana pihak menyalahkan sesiapa atau mengaitkan ahli-ahli Parlimen dengan isu lompat parti,” katanya ketika menyokong perbahasan RUU mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Negara hari ini.

Pada 28 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.