KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sidang Dewan Negara semalam ceria seketika apabila Ahli Dewan Negara dari BERSATU, Senator Datuk Razali Idris bangun mencelah bertanyakan soalan mengenai perbezaan Langkah Port Dickson, Langkah Kajang dan Langkah Sheraton ketika Senator dari DAP, Datuk A. Kesavadas Nair membahaskan isu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

“Yang Berhormat sebut Langkah Sheraton, saya nak betulkan dalam dewan yang mulia ini. Apa beza Langkah Sheraton dan Langkah Kajang?

“Pertama, Langkah Kajang memaksa Yang Berhormat berhenti dan saya nak bertanding.

“Kedua, apa beza dengan Langkah Port Dickson? Mengarahkan Yang Berhormat berhenti supaya aku nak bertanding,” soalnya.

Kesavadas yang menjawab soalan itu mendapat gelak tawa daripada ahli-ahli Dewan yang kemudiannya mendapat reaksi daripada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.

“Langkah Sheraton telah menjatuhkan kerajaan.

“Langkah Port Dickson tidak menjatuhkan kerajaan. Cuma ini masalah antara parti, itu sahaja,” kata Kesavadas.

Razali berkata: “Bila kena tang ke dia, betul.”

Rais Yatim: “Kan dia jawab, cuma (jawapan) tak memuaskan agaknya.”

Dalam reaksi segera kepada Penerangan BERSATU, Razali berkata Langkah Kajang adalah untuk menjatuhkan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, dan ianya merupakan pengkhianatan kepada rakyat.

Katanya lagi, Langkah Port Dickson pula adalah untuk memprovokasi Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meletakkan jawatan dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Kedua-duanya khianat mandat rakyat tapi bila kena batang hidung sendiri, mereka berbelit.

“Niat jahat, maka Allah S.W.T gagalkan kesemua Langkah DSAI,” katanya.

Semalam, Dewan Negara meluluskan RUU itu selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara, yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.

Undi belah bahagian peringkat bacaan ketiga yang dimulakan pada jam 5.43 petang, menyaksikan seramai 52 Ahli Dewan Negara menyokong, tiada yang tidak bersetuju dan tujuh tidak hadir.

Pada 28 Julai lalu, RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

RUU itu dijangka berkuat kuasa sebelum pertengahan September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu yang selesai proses kelulusannya di Parlimen akan dikembalikan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon perkenan baginda seperti diperuntukkan di bawah Perkara 66(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebaik RUU itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara akan sekali lagi mempersembahkan permohonan kepada baginda untuk mendapatkan perkenan baginda supaya RUU ini dapat dikuatkuasakan.