KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Lebih 5,000 ahli BERSATU dijangka menyertai Program Jelajah Penerangan yang akan diadakan selama dua hari, mulai Jumaat ini.

Ketua Penerangan BERSATU Terengganu Badrolhisham Shafie berkata program penerangan bertajuk ‘Membina Naratif Perjuangan’ membabitkan 3,000 ahli parti daripada bahagian Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus akan diadakan di sebuah chalet di Marang, kira-kira jam 2.30 petang Jumaat.

Katanya, majlis penerangan dikendalikan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi diteruskan membabitkan 750 ahli di peringkat bahagian Setiu, bermula jam 5 petang.

“Program penerangan diteruskan ke peringkat bahagian Besut bermula kira-kira jam 8 pagi, manakala di peringkat bahagian Hulu Terengganu di Kampung Duyong, bermula kira-kira jam 5 petang.

“Program Jelajah Penerangan bertajuk Membina Naratif Perjuangan akan dirasmikan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris diadakan bertujuan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badrolhisham yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kuala Terengganu berkata, turut menyertai program jelajah penerangan itu adalah ahli jawatankuasa Perikatan Nasional (PN).