KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) walaupun isu itu didakwa mempunyai kaitan dengan pucuk pimpinan UMNO.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Ismail Sabri tidak perlu takut dengan sebarang tekanan serta ugutan yang bakal diambil partinya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kemungkinan tidak akan mencalonkan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ismail jangan tunggu lama-lama sangat desakan semakin tinggi dan semakin kuat.

“Saya seru supaya terus menubuhkan dan mengusahakan RCI dengan segera. Jangan tertalu tertekan oleh mereka yang cuba melarikan diri.

“Kita faham dalam UMNO sekarang ada ugutan termasuk mengenai tidak dapat watikan (jadi calon) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon menubuhkan RCI mengenai skandal LCS, di Istana Negara hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada KDYMM SPB YDA, Kolonel (B) Dato’ Nazim Mohd Alim.

Turut mengiringi, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ketua Bahagian BERSATU Segambut.

Mengenai kebimbangan Zahid yang juga bekas menteri pertahanan terhadap pendedahan lebih banyak berhubung LCS menjejaskan rahsia keselamatan negara, Wan Saiful berkata terdapat isu kerahsiaan dalam siasatan RCI boleh terus dibincangkan secara tertutup.

“Perkara yang boleh dibincangkan kepada umum dibincangkan kepada umum, perkara yang perlu dibincangkan secara tertutup dalam RCI, saya pasti ada proses yang betul boleh diikuti untuk memastikan bahawa semua perkara yang patut dibincangkan boleh dibincangkan yang perlu dirahsiakan tetap dibincangkan dalam keadaan rahsia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Saiful berkata, beliau bersetuju dengan cadangan supaya isu skandal LCS dibahas di Dewan Negara dan beliau yakin Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bukanlah seorang yang lembik untuk menjawabnya di Parlimen.

“Hishammuddin bukan seorang yang lembik, seorang penakut seperti yang dituduh sehingga mahu melarikan diri dan tidak mahu memberi penjelasan di Dewan Negara, saya yakin Hishammuddin bukan orang yang takut untuk bahas di Dewan Negara sekiranya ia dibahaskan.

“Ini kes yang besar melibatkan dana negara dan harta rakyat yang besar jumlahnya, kita tak boleh buat main-main dengan jumlah sebegini.

“Saya rasa RCI ini satu yang wajar ditubuhkan kerana kalau nak mengharapkan pihak kerajaan menyiasat kes ini kita kena sedar bahawa nama-nama yang disebut dalam laporan tersebut adalah mereka yang berpengaruh dalam badan kerajaan hari ini,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS apabila tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut.