KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diyakini seorang pemimpin yang berani dan tidak lembik untuk hadir pada sesi perbahasan isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) di Dewan Negara, Selasa depan.

Ahli Dewan Negara dari BERSATU, Senator Muhammad Zahid Md Arip menafikan dakwaan sesetengah pihak berhubung Hishammuddin tidak akan hadir dalam perbahasan itu.

“Hishammuddin pernah cium keris ketika jadi Ketua Pemuda UMNO. Mengenali beliau saya tahu Hishammuddin pemimpin berani bukan lembik seperti dituduh musuh-musuh politik beliau.

“Saya tegaskan sebagai sahabat kepada Hishammuddin, saya beri jaminan Hishammuddin akan hadir dan beliau sendiri tampil jawab segala persoalan,” katanya di Parlimen pada Rabu.

Pada Selasa, tiga Ahli Dewan Negara mencadangkan supaya isu berhubung LCS dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan.

Cadangan itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying, Senator Fadhlina Sidek dan Datuk A Kesavadas Nair yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu, Zahid berkata sekiranya Hisham ada urusan lawatan ke luar negara, beliau pasti akan menangguhnya ke tarikh lain.

Katanya, jika Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berani tampil ke Dewan Negara menjawab isu MySejahtera, sudah tentu Hishammuddin juga sama.

Bagaimanapun, jika Hishammuddin tidak hadir dalam perbahasan itu, rakyat boleh menilai sendiri.