SERDANG, 11 Ogos – Kursus berkaitan pertanian ditawarkan di kolej vokasional (KV) dan sekolah menengah teknik (SMT) di seluruh negara akan menggunakan pendekatan dan teknologi terkini bagi mengubah persepsi konvensional terhadap sektor itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata usaha itu bagi membolehkan pelajar yang tamat pengajian dan memilih bidang pertanian moden atau keusahawanan lebih bersedia memasuki sektor sebenar.

“Kita mahu pelajar bidang pertanian didedahkan dengan pertanian moden supaya mereka berada dalam keadaan bersedia serta mampu bersaing menghadapi teknologi terkini dalam bidang diceburi.

“Pendekatan ini juga sedang diusahakan dalam kalangan guru dan pembentukan modul baharu bagi membolehkan kita melahirkan pelajar berkemahiran dalam pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ‘Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian’ pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Radzi berkata, KV dan SMT berkaitan pertanian sebelum ini masih menggunakan pendekatan konvensional yang mana pendigitalan tidak dimasukkan secara menyeluruh dalam kurikulum.

“Sehubungan itu, kita mula mempertingkatkan teknologi digital dan melihat banyak institusi mula menggunakan pendekatan digital dalam mengeluarkan produk pertanian bernilai tinggi, contohnya KV Pasir Mas (Kelantan) menanam ‘golden melon’ secara digital dan boleh dipantau dari mana-mana.

“Kita mahu pelajar nampak dalam pertanian banyak perkara, misalnya teknologi digital boleh diadaptasi dalam memastikan produktiviti dapat ditingkatkan seperti penggunaan automasi dan lain-lain,” katanya.

Katanya, KPM mahu pelajar bidang pertanian menerokai lebih banyak peluang untuk diceburi ketika ini dan akan datang.

Radzi berkata, pelajar perlu mendapat gambaran dan pendekatan yang diajar, pilihan yang ada dan pengiraan yang perlu supaya hasil tanaman dapat dioptimumkan.

“Itu sebabnya kita bekerjasama dengan pihak swasta supaya produk dapat dipasarkan sebagai produk premium dan pelajar mendapat gambaran mengenai potensi pasaran luas dalam bidang pertanian,” katanya.

Dalam wacananya, Radzi berkata, pembabitan generasi pelapis adalah selari dengan usaha meremajakan bidang pertanian, di samping persediaan meningkatkan ekonomi tempatan dan eksport.

Katanya, penggunaan teknologi moden dan terancang mampu meningkatkan hasil tanaman diusahakan, selain kualiti tanaman dan produktiviti pertanian.

“Generasi muda perlu yakin sektor pertanian memberi peluang cerah pada masa depan dan pada masa sama, perlu mengubah pemikiran sektor pertanian dan penternakan ini sukar, kotor dan mencabar.

“Pembabitan anak muda dalam sektor ini dapat membawa revolusi terhadap penggunaan teknologi dalam bidang pertanian,” katanya.

Sementara itu, Kiandee dalam ucapannya berkata, sepanjang MAHA 2022 berlangsung hingga ke hari ini, sebanyak 26 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dengan nilai terbesar lebih RM4 bilion, membabitkan perniagaan penternakan tenusu bersepadu di Chuping, Perlis.

“Ini menjana lebih RM4 bilion dan keseluruhan nilai MoU adalah lebih RM6 bilion. Dengan penyertaan lebih 1,500 kiosk pempamer, MAHA kali ini mensasarkan 1.1 juta pengunjung dengan RM250 juta potensi transaksi perniagaan.

“Rekod pengunjung sehingga hari ini adalah seramai 600,000 orang dan 200,000 lagi mengikuti secara maya. Kita yakin kita dapat mencapai satu juta pengunjung esok dan hingga ke hari akhir dapat capai sasaran 1.1 juta itu,” katanya.