KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL (CPTF) akan menggunakan penyelesaian pintar seperti Lebuhraya Pintar dan Mobiliti Pintar dalam sektor pengangkutan dan logistik bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan kesesakan dan menyediakan pengalaman mobiliti yang lancar kepada pengguna jalan raya.

Ini kerana peningkatan pengguna jalan raya sejak kebelakangan ini memerlukan penggunaan teknologi digital bagi menguruskan aliran trafik menjadi secara berkesan, seterusnya membuka jalan kepada pembangunan lebuh raya yang lebih selamat untuk rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Pengerusi Bersama CPTF, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau berbangga melihat CPTF memainkan peranan penting dalam memacu dan menjadi pemangkin penggunaan teknologi di Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Sememangnya wujud cabaran yang perlu diselesaikan dan CPTF akan memastikan Projek Pemangkin ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah berkenaan dengan dasar dan kawal selia dalam sektor-sektor utama yang menjadi tumpuan supaya laluan dapat dibuka dengan mudah dan dapat dimanfatkan oleh syarikat-syarikat lain dalam sektor berkenaan untuk terus berkembang.

“Kami telah mencadangkan beberapa siri perbincangan dan bengkel untuk mewujudkan satu rangka kerja yang boleh dilaksanakan dengan sistematik.

“Beberapa isu yang menyentuh bahagian dasar akan dikemukakan kepada Kabinet untuk perbincangan lanjut bagi memastikan penyelesaian merentasi pelbagai kementerian, sektor industri dan teknologi dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bermula April lalu, dua inisiatif di bawah CPTF telah dilaksanakan, iaitu teknologi dron dalam pertanian dan robot berautonomi untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dan Pengerusi Bersama CPTF, Tan Sri Jamaludin Ibrahim optimis CPTF akan dapat menyebarluaskan penggunaan rangka kerja seumpamanya ke sektor-sektor lain dan mendorong syarikat-syarikat untuk terus berinovasi.

“Projek Pemangkin bawah MyDIGITAL adalah usaha Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang menyaksikan sektor swasta menerajui dan membiayai projek yang perlu dipercepatkan.

“Pengenalpastian sektor oleh CPTF adalah langkah pertama untuk mewujudkan rangka kerja yang boleh dilaksanakan. CPTF mengharapkan rangka kerja yang terbentuk ini mampu menjadi “game changer” dan menggalakkan pertumbuhan besar dalam pengangkutan dan logistik melalui teknologi.

“Kami menggalakkan sektor swasta untuk memanfaatkan platform CPTF bagi menyelesaikan cabaran projek yang dihadapi, dan menyumbang kepada aspirasi MyDIGITAL,” katanya.