KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Malaysia dan Thailand mencapai persetujuan untuk menyegerakan pelbagai projek prasarana bersama di kawasan sempadan darat kedua-dua negara berjiran tersebut.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah selepas bertemu rakan sejawatannya, Don Pramudwinai di ibu kota Thailand, Bangkok semalam.

“Kami bersetuju mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur sempadan iaitu jajaran jalan antara Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Sadao, Songkhla,” katanya menerusi kenyataan.

Ia hasil susulan Mesyuarat Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan Kelima dan Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala Ke-14.

Sempadan darat dua negara tetangga Asia Tenggara itu mula terbentuk secara rasmi ekoran Perjanjian Anglo-Siam antara pihak penjajah British dan Thailand di London pada 1909 lalu.

Kawasan tersebut merangkumi jarak sejauh 595 kilometer yang melibatkan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan dengan wilayah Satun, Songkhla, Yala dan Narathiwat.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, pembinaan jajaran baharu jalan raya berkenaan akan menghubungkan terus Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin antara kedua-dua negara.

“Kami turut bersetuju untuk dapat menyegerakan projek prasarana Jambatan Persahabatan Kedua antara Rantau Panjang di Kelantan dengan Sungai Golok di Narathiwat,” jelas beliau lagi.

Langkah itu bagi mengurangkan kesesakan trafik di jambatan pertama siap dibina pada 1972 serta jambatan tambahan melibatkan laluan Bukit Bunga dan Buketa yang dibuka pada 2007.

Kedua-dua menteri berkenaan juga membincangkan potensi dan peluang kerjasama antara Kedah Rubber City dengan Songkhla Rubber City yang bakal memberikan keuntungan besar.

Faedah itu ujarnya, turut dapat dinikmati ribuan pekebun kecil komoditi tersebut selain bagi menstabilkan harga pasaran dan memanfaatkan pembekal rantaian industri berasaskan getah.

Di samping itu, mereka berdua turut menilai sasaran perdagangan dua hala baharu berjumlah AS$30 bilion (RM133 bilion) menjelang 2025 yang dipersetujui oleh pemimpin masing-masing.

“Saya juga membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Prayut Cha-o-Cha dan menyuarakan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama,” kata Saifuddin.

Usaha berkenaan jelasnya, termasuk pembangunan bersama di kawasan sempadan yang akan membawa limpahan kemakmuran ekonomi kepada penduduk pasca pandemik Covid-19.