KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL.

Watikah pemasyhuran itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Canselor UniKL, pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU Sabah, merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

Turut menerima watikah pemasyhuran sebagai Pro Canselor UniKL adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

Sebanyak 10,547 graduan terlibat dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh sejak dua tahun lepas.

Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula hari ini hingga 17 Ogos.

Dengan jumlah ini, UniKL telah melahirkan 73,317 alumni termasuk graduan yang diraikan hari ini.

Majlis tersebut turut meraikan graduan sulung bagi program Sarjana Pengurusan dan Operasi Maritim serta Sarjana Pengurusan dan Kejuruteraan Kualiti.

Turut diraikan, 70 graduan sulung program Huffaz profesional.