SERDANG, 12 Ogos – Kerajaan bersetuju dan meluluskan lebih 2,000 pengambilan kuota pekerja asing bagi menampung keperluan industri sarang burung walet.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ini kerana industri sarang burung walet telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri memerlukan sejumlah pekerja yang agak besar dalam setiap kilang pembersihan sarang burung walet sebelum ia dieksport.

“Industri sarang burung walet jmerupakan antara sektor pertanian yang popular dalam kalangan usahawan yang berpotensi untuk terus berkembang dan menjadi sumber kekayaan negara yang baharu serta mampu meraih harga tinggi di pasaran.

“Sekiranya industri ini terus kekurangan pekerja, ia bakal memberikan kesan kepada kuantiti dan kualiti produk yang dihasilkan dan secara tidak langsung boleh menjejaskan eksport sarang burung walet.

“Usaha-usaha MAFI melalui DVS akan terus memperkukuh sektor burung walet negara sebagai sebuah industri yang mampan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengenai pelancaran Sistem MyWalet, Ronald berkata, ia adalah sistem pendaftaran bagi sepanjang rantaian industri sarang burung walet dalam negara bermula daripada sektor perladangan sarang burung walet sehingga ke peringkat eksport.

Katanya, sistem ini menggunakan pendekatan secara atas talian (online) sepenuhnya, bermula daripada proses permohonan sehingga ke kelulusan permohonan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Diharap agar Sistem MyWalet ini terus berjaya dalam memastikan mutu kualiti serta keselamatan produk sarang burung walet terjamin sekaligus mempergiatkan lagi usaha semua pihak meningkatkan potensi produk sarang burung walet kepada pasaran lebih luas,” katanya.