SERDANG, 12 Ogos – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menubuhkan kumpulan pembekal perkhidmatan di Kawasan Muda atau MADA Agricultural Service Provider (MASPRO) bagi melahirkan pembekal perkhidmatan mekanisasi dan automasi yang profesional, bertauliah serta moden.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pembekal perkhidmatan dalam bidang tersebut berperanan penting dalam menyokong aktiviti penanaman padi bermula dari fasa penanaman sehingga fasa terakhir iaitu pengurusan tuaian.

“Penubuhan MASPRO ini selaras dengan usaha MADA untuk memastikan peratusan pengeluaran beras negara dapat ditingkatkan melebihi 40 peratus dengan purata hasil kasar padi sebanyak 6.7 tan per hektar menjelang 2025.

“Diharap dengan inisiatif ini ia akan membantu pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Kawasan Muda bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MASPRO di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, MASPRO turut memainkan peranan sebagai salah satu alat jaringan Government to Business (G2B) di antara pihak pembekal perkhidmatan dan MADA.

Jelasnya, kursus dan latihan yang disediakan di bawah MASPRO akan meningkatkan lagi kefahaman ahli dari aspek pengurusan perniagaan, pengurusan bengkel serta teknologi pertanian.

“Sasaran jumlah pembekal perkhidmatan dari seluruh kawasan MADA yang berdaftar dengan MASPRO bagi tahun 2021 hingga 2025 adalah seramai 60 orang setahun.

“Sehingga kini, seramai 143 orang pembekal perkhidmatan telah menjadi ahli MASPRO dan jumlah ini telah melepasi sasaran yang ditetapkan berikutan sambutan menggalakkan yang diterima,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Ronald turut menyerahkan Geran Kajian Inovasi Mekanisasi dan Automasi Pertanian berjumlah RM200,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan MADA dan juga pembekal perkhidmatan di bawah MASPRO.