KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) yakin kerjasama strategik dengan firma perakaunan terbesar dunia, Klynveld Peat Marwick Geordeler Limited (KPMG) mampu meningkatkan jumlah akauntan bertauliah dalam kalangan Bumiputera di negara ini antara 20 hingga 30 peratus.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata kolaborasi itu penting memandangkan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera ketika ini disifatkan sebagai kritikal.

“MARA percaya kolaborasi ini bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi industri perakaunan Malaysia yang masih kekurangan akauntan profesional bertauliah terutama dari golongan Bumiputera.

“Merujuk kepada laporan tahunan bersepadu Institut Akauntan Malaysia (MIA), jumlah akauntan bertauliah di Malaysia pada masa kini adalah seramai 36,365 orang berbanding sasaran iaitu 60,000 orang menjelang tahun 2030.

“Berdasarkan jumlah akauntan bertauliah sedia ada ini, hanya lapan peratus iaitu 2,910 orang dalam kalangan Bumiputera,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara MARA Dengan USM dan KPMG Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris.

Azizah berkata, melalui kerjasama dijalin bersama KPMG Malaysia selama tiga tahun, kira-kira 1,000 pelajar MARA akan didedahkan dengan latihan sokongan bagi persediaan kerjaya dalam bidang perakaunan dan kewangan.

Katanya, pada tahun ini, seramai 500 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian dalam bidang profesional perakaunan di beberapa institusi pengajian terkemuka dalam dan luar negara.

Pada majlis sama, MARA turut memperbaharui MoU dengan USM yang terjalin sejak 2017, bermatlamat melahirkan lebih ramai tenaga pakar khususnya dalam bidang sains dan perubatan.

“Setakat ini, seramai 1,024 pelajar MARA dalam bidang kejuruteraan, sains dan perubatan telah memperoleh manfaat hasil kerjasama yang terjalin. Di USM sekarang ada 1,500 pelajar MARA dengan kesemuanya dari bidang sains dan perubatan. Mungkin selepas MoU ini yang dimeterai selama lima tahun, jumlahnya akan bertambah,” katanya.