JOHOR BAHRU, 12 Ogos – BERSATU Johor menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) serius menyelesaikan isu masalah kemasukan pekerja asing di dalam negara ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata KSM juga perlu mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemuduga di One Stop Centre (OCS) mengikut zon dan negeri.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 19 Julai lalu telah menyarankan agar prosedur pengambilan dan kemasukan pekerja asing dipermudahkan.

Tambahnya, bagaimanapun pelaksanaan cadangan tersebut sehingga kini masih perlahan dan tidak menampakkan sebarang kemajuan sehingga telah memberi implikasi yang besar terhadap industri dan proses pemulihan negara khususnya pascapandemik COVID-19.

“Walaupun telah banyak gesaan dan saranan diberikan, namun isu pekerja asing ini masih lagi belum dapat diselesaikan dengan tuntas.

“Banyak rungutan daripada majikan di sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan yang masih merintih meminta agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata pada 8 lalu, sebuah portal berita menyiarkan laporan bahawa Kenanga Research telah menyemak dan menurunkan penarafan saham SLP Resources Bhd kepada ‘market perform’ berbanding ‘out perform’ sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 92 sen daripada 99 sen sesaham.

Katanya, rindakan tersebut berikutan prestasi separuh pertama yang kurang memberangsangkan akibat daripada masalah kekurangan pekerja terutama warga asing.

“Ini adalah antara impak apabila isu pekerja asing yang tidak ditangani secara serius sehingga mendatangkan kerugian kepada negara.

“Permasalahan ini diburukkan lagi dengan skandal rasuah kuota warga asing yang dilaporkan oleh pihak media baru-baru ini,” katanya.

Sahruddin berkata sehingga 4 Ogos lalu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 10 individu yang disyaki terbabit dengan kes ini.

Katanya, sehubungan dengan itu, BERSATU mendesak Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan lebih proaktif untuk menyelesaikan isu ini yang menghimpit majikan-majikan sehingga memberi kesan besar kepada sektor-sektor terlibat dan mengganggu pemulihan ekonomi negara.