MARANG, 12 Ogos – Penerangan BERSATU Malaysia menganjurkan perjumpaan tertutup bersama jentera Bahagian BERSATU Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Program tertutup ini dirasmikan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Hadir sama, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Senator Datuk Razali Idris dan delegasi pimpinan BERSATU Terengganu yang terdiri daripada Armada dan Srikandi.

Wan Saiful berkata perjumpaan tertutup ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memastikan jentera parti mendapat maklumat yang terkini untuk disampaikan ke peringkat akar umbi.

“Hari ini adalah permulaan yang diadakan di sini. Ini permulaan kepada sesi-sesi taklimat tertutup yang kita adakan untuk jentera parti kita.

“Selain itu, perjumpaan tertutup ini juga penting bagi mendapat pandangan dari pimpinan di peringkat Pusat serta bagaimana untuk menyusun jentera parti bagi menghadapi pilihan raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perjumpaan tertutup Penerangan BERSATU di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Wan Saiful dalam ucapan perasmian berkata BERSATU adalah parti yang diuji dengan kemenangan semasa PRU14 yang lalu.

Katanya, ujian kemenangan adalah satu ujian yang tidak boleh diperkecilkan.

“Tanggungjawab ahli BERSATU ialah memastikan parti ini bukan sahaja berjaya mengharungi ujian kemenangan, tetapi juga akan terus menang dan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya.