KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan kerjasama antara parti DAP dengan UMNO boleh dicapai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah satu cubaan dalam meraih undi.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata kenyataan Anthony Loke itu hanyalah satu strategi untuk menarik undi masyarakat Melayu dalam pilihan raya akan datang.

“Apa yang kita lihat sekarang ini parti DAP seolah-olah sedang menggunakan strategi untuk mengambil hati orang-orang Melayu.

“Saya berpandangan kenyataan daripada Setiausaha Agung DAP ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga menyebabkan wujud tanggapan bahawa tidak mustahil kerjasama antara kedua-dua parti ini dapat termeterai selepas PRU-15.

Jelas Mahathir, penerimaan UMNO untuk menjalinkan kerjasama ini boleh dianggap sebagai satu pengkhiantan yang dilakukan parti tersebut dalam perjuangan orang Melayu di negara ini.

“Rakyat khususnya orang Melayu tahu bahawa DAP tidak pernah menerima hakikat demografi dan sejarah penubuhan Malaysia.

“Jadi, sekiranya kerjasama kedua-dua parti ini termeterai, selepas ataupun sebelum PRU-15, ini secara sahnya akan membuatkan UMNO mengiktiraf serta menyempurnakan pengkhianatan mereka kepada orang Melayu,” katanya.

Isnin lalu, FMT melaporkan bahawa Anthony Loke mengeluarkan kenyataan yang tidak menolak kemungkinan penubuhan kerjasama antara DAP dan UMNO selepas PRU-15.

Kata Ahli Parlimen Seremban itu, ketidak tentuan dalam landskap politik negara membangkitkan kemungkinan tersebut, lebih-lebih dengan ketiadaan parti tunggal dominan.

Mengulas lanjut, Mahathir juga tidak menolak terdapat kemungkinan berlakunya perbincangan antara kedua-dua parti tersebut mengenai kerjasama mereka.

“Kedua-dua parti telah memberi gambaran bahawa mereka tidak mustahil akan dapat bekerjasama.

“Maka, mungkin ada satu rancangan mahupun satu perbincangan telah diadakan di belakang tabir yang mungkin kita tidak tahu, tetapi naratif sedia ada seolah menunjukkan perkara ini menuju ke arah (kerjasama) itu,” katanya.