KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Filem Indonesia, Perjalanan Pertama-The Wheels Of Life yang sarat dengan unsur-unsur kemanusiaan dan pengajaran dicadangkan ditayangkan terlebih dahulu kepada para senator dan warga Parlimen.

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim ketika menerima kunjungan hormat daripada sutradara dan pelakon utama filem berkenaan di Parlimen hari ini.

Katanya, tayangan istimewa itu boleh dibuat sehari sebelum tayangan perdana di pawagam-pawagam Malaysia yang dijadualkan bermula 18 Ogos ini.

Kunjungan hormat itu diketuai sutradara filem berkenaan, Muhammad Arief Malinmudo di samping pelakon utamanya, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar; penerbit D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar dan penerbit Mahakarya Pictures, Dendi Reynando.

Perjalanan Pertama-The Wheels Of Life mula ditayangkan di Melbourne, Australia pada 2021 diikuti di Indonesia pada bulan lalu.

Filem dibintangi Ahmad Tarmimi dan pelakon Indonesia, Muzakki Ramdhan itu menampilkan kisah seorang datuk, Pak Tan dengan cucunya, Yahya.

Sejak kecil, Yahya sering bertanya mengenai ibu bapanya, namun jawapan diberikan datuknya sentiasa berbeza, namun segala persoalan itu terlerai ketika perjalanan mereka menghantar lukisan kepada seseorang.