KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Isu berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata taraf kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh kerajaan terhadap mana-mana individu yang berada dalam negara.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak faham bahawa setiap permohonan kewarganegaraan perlu melalui proses semakan dan penelitian yang terperinci oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia mengikut lunas perundangan negara.

“Ini adalah kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara serta kepentingan awam yang lebih besar dari kepentingan mana-mana individu.

“Segala peraturan dan proses yang ditetapkan adalah semata-mata bagi memastikan bahawa anugerah tertinggi ini diberikan kepada individu yang benar-benar layak menjadi warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Semalam, Dewan Negara membahaskan usul berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Usul yang dibawa Senator Datuk Seri Zurainah Musa itu dibawa ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu, yang memutuskan anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik, berbeza dengan lelaki.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk meminda Perlembagaan demi keadilan keluarga yang terjejas, namun Parlimen bergantung kepada kementerian untuk membawa pindaan itu.

Zurainah berkata, usul itu bukan untuk menyoal keputusan mahkamah tetapi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai komitmen dalam membawa pindaan Perlembagaan kepada Parlimen.